GEORGETOWN – Bekas Naib Pengerusi DAP Kebangsaan Zulkifli Mohd Noor menyifatkan kepimpinan parti itu melihat penyertaan orang Melayu dalam DAP sebagai “anggota 50 sen” yang tidak membawa kepentingan.
Katanya perkara itu dapat dilihat dengan jelas dalam pemilihan jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) tahun lepas, apabila semua calon Melayu kalah.
“Bagi mengaburi mata rakyat dan menunjukkan DAP sebuah parti berbilang bangsa, tiga atau empat anggota Melayu diangkat menjadi pemimpin parti tetapi itu sekadar satu pembohongan,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.
Katanya bagi menguji dakwaan itu, beliau akan sekali lagi bertanding pada pemilihan semula CEC yang dijadualkan 29 Sept ini.
Saya ingin melihat ketelusan perwakilan dalam menterjemah ideologi ‘Malaysian Malaysia’ semasa pemilihan itu kelak, katanya.
Zulkifli yang kalah dalam pemilihan yang diadakan Disember, berkata beliau juga akan berkempen dalam pemilihan kali ini.
“Selama 26 tahun dalam parti, saya tidak pernah sekalipun berkempen untuk sebarang pemilihan, tetapi kali ini saya akan berkempen demi menguji ketelusan parti dalam memperjuangkan ideologi itu,” katanya.
Beliau juga mendakwa berdasarkan perjumpaannya dengan anggota DAP di beberapa kawasan di Kedah dan Perak, mereka mahu Lim Guan Eng melepaskan jawatan sebagai Setiausaha Agung DAP dan tidak bertanding pada pemilihan semula CEC.
“Bagi mereka Lim gagal menjalankan tanggungjawab dalam mengemudi proses pemilihan pada Disember lepas hingga melibatkan campur tangan ROS (Pendaftar Pertubuhan) dan hampir-hampir DAP dibatalkan,” katanya. – BERNAMA
0 komentar:
Posting Komentar